Perangi Rasuah Sudah Tidak Penting Lagi

Nampaknya usaha untuk memerangi gejala rasuah di dalam negara ini tidak akan begitu berkesan dan sekaligus tidak akan mencapai sebarang kejayaan, setelah kerajaan Barisan Nasional (BN) telah mengumumkan bahawa pihaknya tidak akan sekali-kali memberikan kuasa pendakwaan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketetapan kerajaan tersebut telahpun diumumkan oleh timbalan menteri di jabatan perdana menteri Razali Ibrahim baru-baru ini yang memberikan alasan keengganan pemberian kuasa pendakwaan kepada SPRM adalah disebabkan oleh kebimbangan pihak kerajaan kuasa trersebut mungkin akan disalahgunakan.

Ini bermakna, kuasa pendakwaan tersebut akan terus berada di tangan Peguam Negara. Apakah si Peguam Negara itu tidak akan menyalahgunakan kuasa pendakwaan tersebut? Apakah yang sebenarnya dibimbangi oleh kerajaan BN mengenai cadangan pemberian kuasa pendakwaan terus kepada SPRM bagi membolehkan mereka menguruskan kes-kesnya dengan lebih berkesan?

Adakah pihak kerajaan bimbang yang para pemimpinnya mungkin akan didakwa di suatu hari nanti jika sekiranya kuasa pendakwaan tersebut diberikan kepada pihak SPRM? Ya, alasan tersebut mungkin mendorong kerajaan BN agar berhati-hati di dalam memberikan lebih kuasa kepada SPRM.

Di dalam laporan yang dikeluarkan oleh Ketua Audit Negara baru-baru ini, adalah amat jelas sekali bahawa ramai pemimpin kerajaan dan pegawai-pegawai kanan telah berkali-kali menyalahgunakan kuasa mereka untuk kepentingan diri mereka. Gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa tersebut telah berlanjutan bertahun-tahun lamanya oleh kerana SPRM tidak dapat bertindak dengan berkesan oleh kerana kuasanya yang amat terhad.

Yang jelas menyalahgunakan kuasa dan mengamalkan rasuah itu adalah para pemimpin dan pegawai-pegawai kanan kerajaan. Hampir pada setiap tahun, wang rakyat habis dilesapkan dengan begitu sahaja akibat daripada perbuatan golongan tersebut. Bukankah gejala tersebut perlu dibenteras dengan segera, agar perbendaharaan kerajaan tidak muflis di suatu hari nanti?

Persoalan di sini adalah, adakah kerajaan BN benar-benar serius dan komited untuk memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa di dalam jentera pentadbirannya? Jika pihak kerajaan benar-benar ikhlas di dalam perkara tersebut, kenapa takut untuk mengorak langkah yang lebih drastik untuk memerangi gejala-gejala tersebut yang kian menular?

Jika sekiranya, pihak SPRM tidak diberikan kuasa pendakwaan untuk menyelesaikan kes-kes yang begitu banyak sekali, adakah Peguam Negara itu dapat menyelesaikan kes-kes tersebut yang berlonggok-longgok di pejabatnya dengan sekadar segera? Apakah Peguam Negara itu tidak akan menyalahgunakan kuasa dan kedudukannya bagi memastikan tidak ada sebarang penganiayaan akan berlaku?

Tidak ada gunanya jika sekiranya SPRM diberikan peruntukan yang lebih, tetapi kuasanya tidak diperluaskan, terhad dan hanya diberikan taraf sebagai sebuah badan penyiasat sahaja. Jikalau begitu, kenapa tidak menggaji sahaja syarikat-syarikat penyiasat persendirian untuk melakukan kerja-kerja penyiasatan sebegini?

Popular posts from this blog

EC should ask ROS to register Pakatan quickly

USM fiasco a shame

Singapore Malay daily teaches Mahathir about hardwork