Ke mana arah ahli-ahli parlimen bebas ini?
(Rencana ini telah disiarkan dalam kolum saya di Malaysia-Chronicle baru-baru ini)
Pada 19
Februari yang lalu, ahli parlimen Pasir
Mas yang tidak menganggotai mana-mana
parti, Ibrahim Ali telah mengumumkan bahawa beliau akan mempertahankan kerusi
parlimen yang disandangnya sejak tahun 2008 yang lalu, tetapi tidak menyatakan
pula sama ada beliau akan bertanding semula sebagai calon bebas ataupun
menyertai mana-mana parti politik yang pilihan beliau. Pada pilihanraya umum
yang lalu, Ibrahim bertanding atas tiket PAS dan memenangi kerusi parlimennya
atas bantuan dan sokongan ahli-ahli dan para penyokong PAS di kawasan Pasir
Mas, tetapi tidak pernah memohon menyertai parti tersebut selepas itu.
Pemimpin
pertubuhan perkauman ekstremis Perkasa itu, turut mendakwa sokongan masyarakat
Cina kepadanya turut bertambah dan disebabkan oleh faktor tersebutlah yang
telah mendorong Ibrahim berhasrat untuk bertanding mempertahankan kerusi
parlimen yang disandangnya pada pilihanraya umum akan datang yang akan bakal
diadakan pada bila-bila masa lagi.
Selain daripada
Ibrahim, ahli-ahli parlimen bebas yang lain termasuklah Zulkifli Noordin (Kulim
Bandar Baru), Zahrain Mohamad Hashim (Bayan Baru), Wee Choo Keong (Wangsa
Maju), Tan Tee Beng (Nibong Tebal) dan Mohsin Fadzli Samsuri (Bagan Serai).
Kebetulan pula kesemua ahli-ahli parlimen bebas ini telah meninggalkan parti
asal mereka, PKR selepas pilihanraya umum tahun 2008 yang lalu.
Halatuju ahli-ahli bebas ini
Persoalannya
adalah sama ada ahli-ahli parlimen bebas ini akan mempertahankan kerusi
parlimen sandangan mereka pada pilihanraya umum yang akan datang masih menjadi
tanda tanya semua pihak dan para pemerhati politik khususnya.
Pada bulan
Jun 2010, kumpulan ahli-ahli parlimen bebas ini telah “bergabung” secara tidak
formal untuk membentuk sebuah kumpulan yang bergelar Konsensus Bebas di dalam
parlimen bagi mempraktikkan status bebas mereka. Ahli-ahli Konsensus Bebas ini
terdiri daripada Zahrain, Choo Keong, Zulkifli, Tee Beng dan Mohsin. Ibrahim
pula enggan menyertai konsensus tersebut kerana berpendapat bahawa konsensus
itu tidak memberikan sebarang manfaat kepada beliau.
Yang menarik
perhatian adalah kelima-lima ahli Yang Berhormat ini adalah berasal daripada
parti yang sama, iaitu PKR yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim dan telah
meninggalkan PKR setelah dikatakan telah berselisih dengan ketua pembangkang
parlimen tersebut.
Bagi Tee
Beng, setelah meninggalkan PKR, beliau telah menyertai Parti Kesejahteraan
Insan Tanah Air (KITA) dan dilantik menjadi pengerusi KITA Pulau Pinang. Namun,
karier politiknya dalam KITA tamat apabila disingkirkan daripada parti tersebut
kerana memberontak menentang pemimpin KITA Zaid Ibrahim. Sementara itu,
Zulkifli kini adalah salah seorang naib-presiden Perkasa yang kini diterajui
oleh Ibrahim Ali.
Berkenaan
dengan kedudukan ahli-ahli parlimen bebas ini, umumnya rakyat memandang remeh
akan status yang mereka pilih sekarang kerana dikatakan tidak ada halatuju dan
perjuangan yang sebenarnya di dalam diri mereka. Siapakah sebenarnya mereka
wakili, apakah konsep dan pendirian mereka, bagaimana pula dengan fahaman yang
mereka pelopori dan apakah yang mereka dapat tawarkan kepada rakyat itu
semuanya masih kabur dan kurang jelas.
Yang rakyat
ketahui adalah kesemua ahli-ahli bebas ini dahulunya menganggotai PKR,
bertanding atas tiket PKR dan memenangi kerusi masing-masing atas usaha dan
sokongan daripada PKR dan penyokong-penyokong parti tersebut, dan selepas itu
mengkhianati PKR dengan keluar parti dan kini secara tidak langsung “menyokong”
Barisan Nasional (BN).
Soal
mungkinkah mereka ini akan menyertai Umno ataupun mana-mana parti komponen BN
yang lain sebelum pilihanraya umum yang akan datang masih menjadi tanda tanya.
Sama ada parti-parti komponen BN ini akan membenarkan para “pengkhianat” ini
bertanding semula juga turut menjadi tanda tanya kerana para pemimpin BN juga
dikatakan risau akan isi hati ahli-ahli bebas ini yang dianggap masih tidak
tentu arah dan halatuju mereka.
Kesetiaan yang tidak jelas
Selain
daripada arah dan halatuju yang tidak jelas pada ahli-ahli parlimen bebas ini,
kesetiaan mereka turut dipersoal ramai pihak berdasarkan sejarah politik
beberapa Yang Berhormat bebas ini.
Zahrain
adalah seorang bekas pemimpin Umno yang menyertai PKR, sementara Zulkifli yang
sebelum menyertai PKR, adalah seorang ahli PAS, manakala Tee Beng dahulunya
adalah ahli Gerakan sebelum menyertai PKR, meninggalkan parti tersebut dan
kemudiannya menyertai KITA yang selepas itu memecat beliau. Ibrahim pula yang
bertanding atas tiket PAS tetapi tidak menyertai parti tersebut dan kemudiannya
menjauhkan dirinya daripada parti yang pernah mendukungnya.
Jadi adalah
amat jelas sekali label “lompat” itu melekat pada mereka semua ini walaupun
apajua penjelasan yang mereka telah cuba berikan kepada umum dan para pengundi
di kawasan-kawasan mereka khususnya.
Oleh yang
demikian, sememangnya amat sukar untuk mempercayai akan kredibiliti dan
kesetiaan mereka yang sebenarnya dan jika sekiranya mereka menyatakan pendirian
mereka di dalam sesuatu perkara kesetiaan mereka pada pendirian yang mereka
ketengahkan juga perlu diragui berdasarkan beberapa kenyataan yang pernah
mereka keluarkan pada umum sebelum ini.
Yang rakyat
akan terus melihat mereka adalah dari segi, kesemua mereka ini pernah dan
banyak kali melompat parti dan itu adalah hakikatnya dan pada masa yang sama di
dalam beberapa siri “lompatan” mereka adakah soal kewangan turut terlibat di
dalam mempengaruhi keputusan mereka dari masa ke semasa. Itulah yang senantiasa
akan menjadi tanda tanya di samping terus menimbulkan pelbagai keraguan di mata
semua pihak akan keihlasan mereka yang sebenarnya.